Assalamualaikum.
Kerana hidup ini begitulah. Hari ini kita bertandang datang, hari esok mungkin kita sudah melangkah pergi. Selagi ada desir angin bayu yang berpuput lembut, ada warna-warni bunga harum aneka citra, langit biru masih mengatapi bumi, awan-awan comel berambal-ambalan, laut saujana mata memandang...Selagi itu, kita masih akan melangkah bersama-sama. Matlamat hanya satu, arah mungkin berbeza-beza; pada cara, masa dan tempat. Bila terbayang begitu, dunia ini terasa indah bukan?
Namun, apabila tiba masa dan ketikalah, ke-hadratNya jua kita kembali. Teringat saat itu yang pasti akan tiba, rasa ngeri dan ngilu. Bukan kerana takutkan mati sebab cintakan dunia. Bukan. Tetapi mengenang hinanya diri, sedikitnya bekalan iman dan amal, banyaknya dosa yang masih belum dipohon ampun. Bimbang kalau waktu itu datang, diri ini masih belum cukup bersedia. Sungguh. Adakah orang yang benar bersedia untuk menghadap Tuhan-Nya? Dia, tidak langsung memandang amalan secuit kita. Tanpa kasih sayang-Nya, tanpa kelulusan dari-Nya, entah di lapisan mana di neraka-Nya akan tercampak diri ini.
Pelepah tua jatuh, pelepah muda jangan ketawa. Kerana tiada siapa yang dapat mengagak bilakah umur bakal terhenti. Dan kita, adakah masih lagi gelak-gelak, riang gembira tanpa waspada? Sedang malaikat-Nya tidak alpa menunggu waktu itu hadir. Tatkala pohon di arasy bergegar, daun yang tercatat nama pun gugur. Saat itu, kita masih mahu bercanda gurau senda?
Pendeknya hayat seorang manusia. Hanya antara 2 nafas - yang pertama dan yang terakhir. Ketika nafas pertama, mereka menangis dan ketawa gembira menerimamu di dunia. Ketika nafas terakhir nanti, adakah yang akan menangis untukmu? Atau masih ketawa dengan pemergianmu?
Ya Allah, hidup dan matikanlah aku dalam iman. Ya Allah, jika Engkau mentakdirkan mati, matikanlah aku dalam husnul khatimah. Matikanlah aku dengan menyebut nama-Mu. Walaupun diriku hina dina pada pandangan-Mu, terimalah aku di sisi-Mu dengan belas ihsan ya Allah. Ampunilah daku, kedua ibu bapaku dan mereka di sekelilingku. Amin ya Rab. Amin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment