Bismillahirrahmanirrahim.
2011 ini, diri terasa terpanggil untuk menelusuri kembali ruang-ruang sejarah silam. Yang walaupun telah terkunci di lipatan masa, tetap perlu untuk dibuka dan ditatap kembali. Mereka yang melupai sejarah akan mengulanginya lagi. Itu hukum karma. Sunnatullah yang telah ditetapkan.
1511, atau lebih tepat pada 10 Ogos 1511, Melaka jatuh ke tangan penjajah pertamanya. Siapa? Portugis. Pernah anda terfikir bagaimana kerajaan Melaka yang gah dan tersohor itu boleh alah, dalam masa tak sampai pun sepurnama? Melaka, yang menjadi lambang ketuanan Melayu suatu masa dahulu, menguasai jalan ekonomi dan perdagangan, menjadi syurga rempah-ratus dan segala kekayaan bumi - emas, perak dan batu permata. Sebutlah apa sahaja. Dari segi kedudukannya, Melaka berada di kedudukan yang strategik, terlindung dari badai kerana adanya Sumatera sebagai benteng. Selat Melaka pula cetek airnya, memudahkan Orang Laut mengawasi keluar masuk kapal. Ada pula panglima terbilang. Nah, jadi mengapa Melaka tersungkur akhirnya?
500 tahun. Satu jangka masa yang panjang, bukan? Setelah lima abad berselang, ternyata dalang yang menjatuhkan peradaban bangsa dan agama kita suatu masa dahulu kini kembali bermaharajalela. Tahukah anda, Melaka dilanda kebejatan moral yang cukup parah pada zaman itu? Muda-mudinya berpesta siang malam, pembesarnya makan suap, rajanya asyik berhibur bersukaria. Lantas, apa bezanya dengan sekarang? Masalah sosial semakin melarat, seks bebas sudah dijadikan adat, anak-anak luar nikah dibuang merata tempat, hubungan sejenis mula dipandang tepat. Untuk menjadi hebat ilmu tidak lagi diangkat, sebaliknya korupsi yang menjadi syarat. Adakah ini semua hanya perlu untuk dilihat? Atau sebenarnya ia perlu segera diubat? Anda jawab. Generasi muda adalah pemacu nusa. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Merekalah pewaris yang akan menentukan letak duduk Malaysia di peta dunia. Tapi, mampukah? Dengan nilai akhlak yang kita lihat hari ini?
Justeru, sejarah telah mengajar kita. Jatuhnya Melaka kerana luluhnya akidah, kurangnya ibadah dan rendahnya akhlak. Adakah kita ingin dijajah lagi secara fizikal? Keracunan minda yang sekian lama mendarah daging pun belum berjaya kita detoksifikasi. Marilah. Kita sama-sama sedarkan diri. Membina peribadi mulia. Moga Allah redha dengan kita. Moga Muslim Melayu di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya dapat bangkit kembali. Bak Sultan Muhammad Al-Fatih, laksana Salahuddin Al-Ayubi, setanding Tariq bin Ziyad. Mari. Kita mampu jika kita mahu. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
视频网址大全 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室 , 聊天室
ReplyDelete